Aktiviti 5 : Mengapa Guru Lakukan Kajian Tindakan dan Nyatakan Sebab Mengapa Pilih Tajuk Berkenaan?
Bersama ahli kumpulan
Soalan
1) Bincang dengan pasangan anda MENGAPA guru (pelatih/novis/ berpengalaman) perlu melakukan kajian tindakan
2) Bincangkan dengan pasangan anda mengapa anda ingin melakukan tajuk yang dipilih untuk mini kajian anda?
Jawapan Soalan 1
Seorang guru tidak kira pelatih/novis/pengalaman perlu melakukan kajian tindakan kerana kajian tindakan merupakan satu cara dan pendekatan yang dapat dilihat keberhasilannya dan secara tidak langsung guru dapat memikirkan langkah-langkah yang terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran.
Melalui kajian tindakan yang dilakukan, guru dapat mengesan dan menyelesaikan sesuatu masalah dengan lebih baik. Secara umumnya kajian tindakan ini dilakukan adalah bertujuan untuk penambahbaikan. Melaluinya, guru dapat memikirkan pelbagai pendekatan baru bagi menyesuaikan amalan pengajaran mereka dengan kehendak pelajar.
Ekoran daripada itu, guru boleh memperbaiki cara pengajaran mereka di samping dapat mempelbagaikan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan. Dengan ini, secara tidak langsung dapat meningkatkan profesionalisme seorang guru.
Jawapan Soalan 2
Tujuan kami memilih tajuk seperti di bawah adalah kerana :
"Penggunaan Animasi melalui Multimedia Interaktif dalam Pengajaran dan Pembelajaran. "
Teknologi multimedia adalah salah satu teknologi baru dalam bidang komputer yang memiliki kebolehan untuk menjadikan media pembelajaran lebih lengkap. Multimedia merangkumi pelbagai media dalam satu perisian sehingga memudahkan guru untuk menyampaikan bahan pembelajaran dan pelajar berasa terlibat dalam proses pembelajaran kerana teknologi multimedia membolehkan berlakunya interaktiviti.
Multimedia dalam pendidikan adalah sebagai alat, kaedah dan pendekatan yang digunakan untuk membuatkan komunikasi di antara guru dengan pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran dan seterusnya menjadikan proses pembelajaran adalah berkesan. Pelajar yang terlibat dalam proses pembelajaran melalui pakej multimedia boleh mempelajari ilmu yang ada di dalamnya sesuai dengan minat, kesukaan, bakat, keperluan, pengetahuan dan emosinya.
Dari perspektif pengguna komputer, multimedia bolehlah diertikan bahawa informasi komputer yang boleh dipersembahkan melalui audio atau video sebagai tambahan kepada teks, imej, grafik dan animasi.
Animasi merupakan antara elemen multimedia yang paling diminati serta mendapat perhatian ramai termasuklah anak kecil dan orang dewasa. Ia berbentuk paparan visual yang bersifat dinamik dan merujuk kepada suatu proses menjadikan sesuatu objek agar kelihatan hidup atau memberi gambaran bergerak kepada sesuatu yang pada dasarnya adalah statik.
Maka melalui penggunaan animasi ini, terdapat banyak kelebihannya. Antaranya adalah seperti berikut :
a) Dapat menceriakan proses penyampaian guru
b) Membolehkan sesuatu persembahan yang disampaikan kelihatan hidup atau realistik berbanding penggunaan teks semata-mata
c) Dapat menghasilkan persekitaran pembelajaran yang merangsang dan menyeronokkan
d) Mampu menarik perhatian pelajar dengan mudah. Pelajar akan memberi tumpuan yang lebih lama.
e) Meningkatkan interaksi dua hala antara pelajar dengan guru.
0 Response to "Aktiviti 5 : Mengapa Guru Lakukan Kajian Tindakan dan Nyatakan Sebab Mengapa Pilih Tajuk Berkenaan?"
Post a Comment